
Majlis yang memilih tema “Pengorbanan Dihayati Membentuk Rijal Sejati” bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai menambahkan lagi keberkatan majlis. Kemudian, para hadirin sama-sama dipimpin untuk melaungkan takbir mengagungkan kebesaran Allah S.W.T sebagaimana yang dituntut untuk memperbanyakkan takbir dan pujian kepada Allah pada hari-hari yang mulia ini. Selepas itu, para hadirin mendengar ucapan daripada wakil Wanita ISMA-Mesir, Dr. Fatimah Zaharah Rosli yang menyentuh tentang konsep pengorbanan juga mengaitkan pengorbanan dengan realiti hari ini.
Menyusul selepas ucapan, hadirin dihidangkan dengan sebuah deklamasi sajak bertajuk “Pulang Kerana Cinta” yang disampaikan dengan penuh penghayatan oleh Saudari Amirah Najihah. Sambil diselangi celoteh pengerusi majlis, majlis sambutan Aidiladha ini terus hangat dengan cabutan bertuah yang diadakan sepanjang majlis berlangsung. Majlis kemudian menarik perhatian para hadirin dengan sebuah persembahan multimedia yang membawa mesej tentang erti pengorbanan yang sebenar bagi seorang mukmin.
Sejurus selepas itu, majlis menjemput Timbalan Ketua Biro Dakwah dan Kebajikan ISMA-Mesir, saudari Uswah Hasanah untuk menyampaikan sebuah tazkirah yang bertepatan dengan tema majlis sambutan kali ini. Beliau menekankan tentang penghayatan nilai pengorbanan yang akhirnya dapat melahirkan pemuda dan pemudi yang sejati. Selepas ucapan, tibalah acara yang dinantikan oleh para hadirin iaitu persembahan nasyid dari Kumpulan Nasyid Wanita ISMA, Kumpulan Durrah. Akhir sekali, bacaan doa menutup majlis sambutan. Majlis yang penuh kemeriahan ini terus menerima kehadiran tetamu yang tidak putus-putus sehingga jam 5 petang.
Rata-rata tetamu yang hadir menikmati hidangan yang disediakan dan membawa pulang kenangan manis menyambut Aidiladha pada kali ini. Di kesempatan ini, seluruh warga Wanita ISMA-Mesir mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran tetamu yang menceriakan dan menambahkan lagi keberkatan majlis ini.
Gambar sekitar majlis:




