
Dr Zainur sendiri mengungkapkan rasa gembira dan terharu atas kesungguhan pelajar-pelajar untuk hadir ke sesi perkonsian tersebut walaupon ada dari kalangan mereka mempunyai peperiksaan kecil pada keesokkan harinya. Pelajar-pelajar yang hadir merupakan pelajar perubatan dan pergigian dari universiti di sekitar Kaherah iaitu Universiti Kaherah, Universiti Ain Sham, Universiti Azhar dan juga dari luar Kaherah iaitu Universiti Tanta dan Universiti Mansurah.
Dr Zainur yang baru sahaja menamatkan Road Show di Kaherah, Mansurah, Tanta dan Iskandariah merupakan seorang ikon perubatan yang tersohor dari segi kerjaya dan misi kemanusiaan yang telah beliau lakukan. Beliau menjawat jawatan Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi di International Medical University (IMU), Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Pengarah University Management Information System (UMIS) dan juga pakar perunding AMAN-Palestin Berhad.
Pengarah program, saudara Huzaifah Md Nor menyatakan bahawa program ini merupakan inisatif Dr Zainur sendiri atas keberadaan beliau di Mesir dan mengambil peluang sepenuhnya untuk bertemu dengan bakal-bakal doktor. Beliau yang datang bersama-sama Mejar Nazri mewakili AMAN- Palestin yang dijemput khas dari Malaysia untuk mengadakan Road Show AMAN Palestin di Mesir. Dr Zainur sendiri menyatakan bahawa tidak lengkaplah kedatangan beliau ke sini tanpa mengambil peluang untuk bertemu dengan bakal-bakal doktor di Malaysia.
Dalam sesi perkonsian selama 2 jam setengah tersebut, Dr Zainur telah menceritakan bagaimana hala tuju seorang pelajar perubatan dan pergigian selepas mereka tamat pembelajaran mereka di universiti. Beliau juga sempat memberikan tips-tips bagaimana untuk mengharungi fasa housemanship dengan baik. Para hadirin juga didedahkan dengan cara bagaimana untuk mereka menjadi pakar dalam bidang yang mereka ingini. Penyampaian yang diberikan sedikit sebanyak menambah kesungguhan para pelajar di sini untuk belajar dengan tekun dan menyumbang pada masyarakat nanti.
Selain itu Dr Zainur juga menceritakan pengalaman beliau semasa menjalankan misi-misi kemanusian di Afghanistan, Acheh Indonesia, dan di kem-kem pelarian Palestin di Jordan dan Lubnan. Beliau juga menceritakan beberapa kejayaan beliau dalam AMAN-Paslestin dalam menyampaikan kesedaran kepada masyarakat Malaysia. Beliau juga sempat memberi cabaran kepada para hadirin untuk terkehadapan dalam misi-misi kemanusiaan dan menyampaikan kesedaran kepada masyarakat.
Majlis diakhiri dengan pertanyaan dari pelajar-pelajar yang begitu teruja dan pelbagai soalan dapat dikupas dengan begitu menarik oleh Dr Zainur. Majlis terpaksa ditamatkan walaupon para hadirin masih mempunyai soalan untuk ditanya kerana masa mencemburui dan memberi peluang kepada Dr Zainur untuk berehat kerana beliau akan mengendalikan program Training of Trainers AMAN-Palestin pada keesokkan harinya.
Gambar Sekitar Aktiviti:-



















Comments
RSS feed for comments to this post.