
Majlis dimulakan pada pukul 8 malam dengan bacaan quran dan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid Fetya, yang merupakan kumpulan nasyid rasmi ISMA-Mesir. Pengerusi ISMA-Mesir, Ustaz Shuhaib Ar-Rummy bin Selamat kemudiannya memberi sedikit kata-kata aluan sebelum majlis mempersilakan Ustaz Fauzi kepentas.
Perkongsian beliau dimulakan dengan penerangan ringkas tentang sejarah negara kita Malaysia. Tentang sejarah Islam di Tanah Melayu, penjajahan yang berlaku dan seterusnya kemerdekaan, serta kesan peristiwa-peristiwa ini terhadap Islam di Tanah Melayu. Menurut beliau, kefahaman yang jelas terhadap hakikat-hakikat ini, akan membawa kepada cita-cita yang tinggi untuk mengembalikan kegemilangan Islam di tanah air kita, serta kesedaran akan cabaran-cabaran yang akan dihadapi untuk mencapai matlamat tersebut.
Beliau juga menyentuh tentang fiqh (qaedah) amar makruf nahi mungkar, serta aplikasi yang sesuai di negara kita. Beberapa pesanan kepada semua mahasiswa di Mesir, antaranya tentang isu qudwah dan akhlak. Dua perkara ini adalah asset utama bagi seorang pendakwah dan perlu diberi perhatian oleh semua. Pesanan khas kepada mereka yang mengambil bidang agama, supaya amanah dengan ilmu mereka. Ini termasuklah berani untuk menyatakan tidak tahu sekiranya tidak arif tentang sesuatu perkara dan bukannya membuat andaian sendiri dan akhirnya boleh membawa kepada penyelewengan ilmu. Perkara ini menuntut supaya kita lebih bersungguh dalam menuntut ilmu, dan menyediakan diri untuk menangani isu-isu di Malaysia kelak.
Dalam kesimpulan beliau, Ustaz Fauzi menegaskan bahawa mahasiswa mestilah mempunyai gambaran yang jelas tentang sejarah dan suasana yang berlaku di Malaysia, supaya mereka dapat mempunyai cita-cita dan matlamat yang besar untuk agama Islam di Malaysia kelak. Seterusnya mahasiswa perlulah memahami tabiat pertembungan (konspirasi) yang berlaku di Malaysia, dan membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi dan seterusnya mengubahnya. Dan akhirnya, kita mestilah berdakwah dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Melihat masyarakat dengan penuh kasih sayang, dan perbanyakkan bersabar.
Sesi soal-jawab kemudiannya menyusul, dan akhirnya majlis ditutup dengan satu lagi persembahan dari kumpulan Fetya.
Ustaz Fauzi Asmuni merupakan bekas graduan Universiti Al-Azhar yang berada di Mesir pada tahun 1990-an. Seorang yang berpengalaman dalam arena dakwah di Malaysia dan banyak menangani isu-isu masyarakat, melalui pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia. Untuk mereka yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk membaca tulisan-tulisan Ustaz Fauzi di blog peribadi beliau: www.satuperkongsian.wordpress.com
Gambar Sekitar Aktiviti:-




















